RINGKASAN EKSEKUTIF

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), beriltizam
untuk terus memainkan peranan yang proaktif dalam memastikan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 tercapai. Salah satu aktiviti untuk mencapai hasrat tersebut adalah melalui transformasi Blueprint POLYGreen Politeknik Malaysia 2015-2020 (BPPM) kepada Blueprint SmartGreen Polytechnic Community College 2021-2026 (BSGPC). BPPM sebelum ini memberi penekanan kepada teknologi hijau yang terkandung dalam sepuluh (10) Bidang Tumpuan (BT). Manakala BSGPC melihat cakupan yang lebih menyeluruh dengan memberi penekanan kepada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang terkandung dalam tujuh (7) Bidang Tumpuan. 

BSGPC dihasilkan berdasarkan rasional dan keperluan berikut:

  1. Menjadi rujukan dan panduan kepada semua politeknik dan kolej komuniti dalam halatuju strategik pengurusan mampan.
  2. Memantap dan menambah baik sasaran pencapaian projek mampan ke arah mencapai pengiktirafan Kampus Mampan
  3. Meningkatkan keupayaan inovasi dan kreativiti dalam pembangunanmampan yang mampu meningkatkan impak ekonomi, sosial, dan persekitaran
  4. Memperkukuh jalinan kolaborasi antara institusi dengan pihak berkepentingan, masyarakat dan industri serta tidak lupa kepada golongan kurang upaya.

BSGPC ini secara langsungnya akan menjadi dokumen rujukan kepada semua aktiviti dan program mampan di setiap politeknik dan kolej komuniti
di Kementerian Pendidikan Malaysia dan secara tidak langsungnya kepada semua institusi pendidikan yang lain. Sealiran dengan itu, diharapkan agar semua institusi pendidikan dapat memainkan peranan sebagai pusat ilmu untuk melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang tertentu, juga tidak ketinggalan dalam bidang lain yang dapat memberi nilai tambah kepada jati diri seperti bidang pengurusan mampan dan komunikasi berkesan. Ini akan dapat memenuhi tuntutan dan keperluan dunia pekerjaan yang semakin mencabar yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental, berdaya saing dan berkeperibadian yang baik agar dapat berinteraksi secara berkesan dan harmoni dengan masyarakat dan persekitaran untuk menjamin keseimbangan, kesejahteraan dan kemampanan hidup.